KUALA LUMPUR: Tidak mustahil Gerakan Tanah Air (GTA) yang dibawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu menjadi medium dalam meneruskan dominasi politik Melayu Islam selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, situasi itu mungkin terjadi sekiranya UMNO dan Pas masih belum mampu untuk menoktahkan ‘pertelingkahan’ mereka.

Tambah beliau, dalam keadaan politik dominasi Melayu Islam masih relevan, beliau berpendapat tidak mustahil GTA akan menjadi pilihan, terutamanya daripada bukan ahli kedua-dua parti tersebut.

“GTA berkemungkinan akan mengambil ruang dalam kekalutan isu-isu berhubung kerjasama UMNO bersama dengan Pas.

“Sekiranya ini berlaku dan masyarakat kembali aktif berpolitik, juga dalam keadaan politik dominasi Melayu Islam masih lagi relevan dan dianggap penting dalam menyatukan dan membangunkan negara, berkemungkinan dengan perpecahan UMNO dan Pas, mungkin kita akan melihat satu bentuk saingan daripada GTA yang juga berteraskan politik Melayu Islam,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Tambah beliau, Pas harus memikirkan hala tuju politik mereka sama ada kekal dengan Perikatan Nasional (PN) atau bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

“UMNO dan Pas mempunyai kekuatan tersendiri. Dalam keadaan dominasi Melayu Islam masih relevan, kedua-dua parti ini masih lagi mempunyai kekuatan untuk membentuk gabungan menumbangkan mana-mana gerakan atau mana-mana gabungan sedia ada.

“Justeru Pas harus mengambil tindakan bijak, berasaskan kepada menafsirkan kekuatan mereka sebagai salah satu parti politik gergasi,” ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi kata dua kepada parti Pas iaitu memilih sama ada untuk bersama UMNO atau Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO itu menegaskan, keengganan Pas memenuhi syarat yang ditetapkan itu hanya akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) bergerak secara sendirian pada PRU15.

Seandainya syarat itu dipenuhi pula, Pas, tegas Ahmad Zahid, mesti memutuskan hubungan dalam kerjasama bersama PN secepat mungkin walaupun tidak mendedahkan tempoh sebenar yang diberikan kepada parti tersebut.