KUALA LUMPUR:Kemelut politik yang melanda negara boleh diselesaikan secara rundingan atau menerusi Dewan Rakyat tanpa perlu merisikokan nyawa rakyat menerusi pilihan raya umum ketika Malaysia masih berdepan ancaman COVID-19.

Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata proses itu termasuk mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya urusan melibatkan kerajaan tetap menjadi keutamaan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat berbanding usul persendirian.

"Kalau pertikaian politik ini tidak dapat diselesaikan secara politik, maka Perlembagaan telah menyediakan ruang yang luas. Misalnya untuk menyelesaikan di Dewan Rakyat itu sendiri dengan proses undi tidak percaya.

"Cuma proses undi tidak percaya ini memerlukan satu keputusan daripada pihak kerajaan atau menteri di pihak kerajaan kerana selalunya usul daripada ahli persendirian itu diletakkan di akhir urusan Dewan Rakyat.

"Katakan persidangan Dewan Rakyat ditetapkan dua minggu, maka urusan atau usul daripada ahli persendirian itu hanya dibenarkan dibentangkan apabila selesai semua urusan kerajaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Felo Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid bahawa Ahli Parlimen perlu bersikap matang dalam mencapai kata sepakat.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, undi tidak percaya boleh diawalkan sekiranya menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan Parlimen membenarkan perkara tersebut.

Justeru, beliau berpandangan wakil rakyat perlu mengambil iktibar daripada peningkatan kes COVID-19 susulan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bulan lepas.

Sementara itu, ditanya mengenai Pembentangan Belanjawan 2021 akan menjadi indikasi tersirat terhadap sokongan majoriti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Nik Ahmad Kamal mengakui perkara tersebut.

Jelas beliau, jika pembentangan Bajet 2021 itu diluluskan, ia sudah cukup membuktikan Perdana Menteri mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat.

"Sebenarnya betul memang sama ada bajet itu diluluskan oleh Parlimen atau tidak, ia satu indikasi yang amat penting untuk menunjukkan sama ada kerajaan itu (Perikatan Nasional) disokong atau pun tidak oleh secara majoriti di Dewan Rakyat.

"Ini adalah amalan konvensyen di United Kingdom dan diamalkan di kebanyakan negara yang mengamalkan sistem 'Westminster' bahawa indikasi kerajaan telah hilang sokongan apabila mereka gagal meluluskan bajet.

"Ini juga amalan di negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti ini dan sistem presiden pun seperti itu juga," katanya lagi.