PUTRAJAYA : Ramai yang melihat bahawa keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku perdana Menteri hari ini berada dalam keadaan rapuh hanya disebabkan kelebihan majoriti tipis yang dimiliki.

Malah mungkin juga disebabkan faktor itu, maka beliau lebih dilihat sering ditekan oleh pelbagai sudut baik dalam atau luar partinya sendiri untuk menurut kehendak pihak tertentu.

Bagaimanapun menurut penganalisis politik dari Sunway University, Profesor Wong Chin Huat, ramai yang sebenarnya terlupa dengan hakikat di sebalik perkiraan zahir sebegitu sedangkan ada realiti yang kurang disedari.

Jelasnya, mungkin ramai yang terkejut seandainya Ismail Sabri pada hakikatnya memiliki jumlah majoriti yang paling tinggi sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

“Kerajaannya mempunyai majoriti lebih 52.3 peratus.. ini adalah kerajaan campuran daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti kecil dan ahli-ahli bebas.

"Tetapi dengan perjanjian persefahaman (MOU) yang telah ditandangani oleh pembangkang selepas tiga hari menjawat jawatan Perdana Menteri, dengan PH ketika itu memiliki 40.9 peratus kerusi di Dewan Rakyat, maka Datuk Seri Ismail Sabri sebenarnya menikmati majoriti berkesan (effective majority) setinggi 93.1 peratus.   

"Ini adalah majoriti yang paling tinggi sejak kemerdekaan... lebih tinggi daripada majoriti 90.9 peratus yang diperolehi oleh Tun Abdullah Badawi," jelasnya ketika menyampaikan ucapan ada Simposium Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Malah katanya lagi, soal yang menjadi kerisauan ramai ketika ini termasuk Perdana Menteri sendiri iaitu kemungkinan berlakunya 'hung Parliament' atau Parlimen tergantung sebenarnya tidaklah menyebabkan keadaan yang teruk seperti digambarkan.

Pembetukan sesebuah kerajaan campuran katanya bukanlah sesuatu yang asing berlaku di dunia atau menyebabkan kerosakan terhadap sesebuah negara.

Sebaliknya jika dilihat dengan lebih luas konteks tersebut, jelasnya lagi, ada negara yang berjaya disebabkan kekuatan yang diperolehi daripada campuran kerajaan yang dibentuk.

“Sejak selepas Perang Dunia Kedua, semua kerajaan di Jerman adalah merupakan kerajaan campuran... dan hari ini Jerman tetap muncul sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi yang paling kuat dalam kalangan negara dalam Kesatuan Eropah," katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh New Zealand yang semua kerajaannya daripada 1996 sampai 2020 adalah kerajaan campuran, tetapi maju dan stabil.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak akan sebarang kemungkinan yang mungkin terjadi namun ia sesuatu yang tidak perlu terlalu dikhuatiri.

"Jangkaan terhadap Parlimen tergantung itu benar tetapi tak perlu khuatir, kerana faktor yang paling utama adalah parti-parti dari Sabah dan Sarawak memilih jalan sendiri.

“Ini bermaksud, untuk mengelakkan Parlimen tergantung, gabungan nasional seperti BN perlu memenangi hampir seratus kerusi di Semenanjung dan ia hampir tidak mungkin berlaku, kecuali kadar mengundi sangat rendah. Kalau kadar mengundi sangat rendah, keabsahan kerajaan pula akan dipertikaikan," jelasnya.

Menyentuh mengenai pergolakan semasa yang berlaku dalam parti UMNO ketika ini beliau melihat ia tidak lebih daripada bebanan yang akan merugikan UMNO itu sendiri.

Malah ia tidak akan membantu parti itu untuk menjamin kemenangan seandainya benar berlaku pergolakan dan ancaman berterusan terhadap Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri.

Sedangkan katanya, parti itu pada satu ketika dilihat berada dalam situasi yang cukup selesa untuk merebut semula kuasa majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ada dua isu yang menjadi ancaman terhadap UMNO ketika ini iaitu membabitkan kes kapal tempur pesisir (LCS)  dan perkembangan akhir-akhir kes rasuah Datuk Seri Najib.

“Pengundi Melayu Islam sangat pentingkan soal pertahanan dan kedaulatan negara. Kecuali UMNO menyerang korupsi secara proaktif, isu LCS akan menghakis sokongan orang Melayu, yang mungkin berpindah ke arah PN... kalau tidak ke PH," katanya.

Ahli Parlimen Bera itu juga katanya merupakan seorang pemimpin yang mempunyai pendekatan yang berbeza dari kalangan perdana menteri sebelumnya.

Menurutnya, selaku pemimpin nombor satu negara yang mengambil pendekatan lebih lunak, dan mampu menjadikan parti lawan yang lazimnya menjadi seteru politik untuk memeterai jalinan kerjasama, adalah sesuatu yang mengagumkan dan tidak pernah direkodkan sejak 1980-an.

Pendekatan serta sifat terbuka beliau itu katanya membuatkan semua pihak mampu melihat jurang yang menjadi perbezaan sebelum ini lebih mudah diketepikan.