KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah dilapor mendahului dua kerusi masing-masing di Parlimen Keningau, Papar dan Batu Sapi.

Laporan tidak rasmi setakat jam 9.32 malam mendapati, penyandang yang juga calon GRS, Datuk Seri Jeffrey Kitingan dilapor mendahului dengan 6,158 undi.

Diikuti calon Pakatan Harapan Grelydia Fillod (4,424); calon Parti KDM, Jake Nointin (2,545) dan Calon Parti Warisan Rasinin Koutis dengan 1,676 undi.

Selain itu, laporan tidak rasmi setakat jam 7.34 petang ini, calon GRS Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali mendahului 1,517 undi.

Beliau mendahului Hery Shim daripada Pakatan Harapan; penyandang kerusi Parlimen Papar yang juga calon Warisan, Ahmad Hassan masing-masing 738 dan 620 undi.

Calon Pejuang, Nicholas Sylvester pula mendapat 53 undi sementara dua calon Bebas Johnny Sitamin dan Norbert Chin masing-masing 17 dan 14 undi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU15, Parlimen Papar merekodkan 59,942 pengundi berdaftar.

Sementara itu, calon GRS Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula mendahului jumlah undian dengan 3,115 undi, setakat 7.34 petang.

Ia diikuti calon Pakatan Harapan Liau Fui Fui 2,886 undi; Alias Sani (Warisan) dengan 1,675 undi; Boni Yusuf Juanico Abdullah (Pejuang) dengan 43 undi dan calon Bebas Othman Ahmad dengan 42 undi.

Seramai 43,916 pengundi berdaftar layak mengundi di parlimen itu pada PRU15.

Sementara itu, calon Warisan di Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamad Yusof Apdal dilapor mendahului dengan 2,465 undi.

Diikuti rapat calon Barisan Nasional (BN) Maizatul Akmam Alawi dengan 2,236 undi dan calon Pakatan Harapan Oscar Sia Yu Hock dengan 1,024 undi.

Bagaimanapun pada PRU15, seramai 100,256 pengundi berdaftar layak untuk mengundi di Parlimen Lahad Datu.