BAYAN LEPAS: Tindakan sesetengah pihak mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'di tengah jalan' adalah sangat tidak wajar dan tidak baik.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mereka yang tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan boleh menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengkritik kepimpinan Kerajaan sedia ada namun ia mestilah menggunakan saluran yang betul.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, beliau bersetuju dengan pendirian Anwar yang mencabar mana- mana pihak yang mendakwa mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu dan menjatuhkan kerajaan sedia ada membawanya ke Parlimen.

"Kalau boleh, kalau ada kelemahan kami bongkarkan. Buat lah apa program. Kalau rakyat terima, jatuhkan kami pada PRU yang akan datang. Itu cara yang paling baik, tetapi kalau cukup bilangan kita tak boleh buat apa-apa, kita ikut perlembagaan," katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Amanah Pulau Pinang di Teluk Kumbar, Bayan Lepas pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Sebelum ini, timbul dakwaan sesetengah pihak bahawa wujudnya Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu dan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Semalam, Perdana Menteri mencabar mana- mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen agar membawa undi usul tidak percaya  ke Parlimen.

Beliau berkata sedia berdepan usul berkenaan dalam sidang Parlimen pada bulan Mei ini dan tidak akan mengelakkan sebarang usul yang dibawa oleh pembangkang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad Sabu berkata rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti Amanah sedang berjalan.

Meskipun desas-desus mengatakan UMNO cuba merisik kerusi yang diperuntukkan untuk parti itu, Mohamad Sabu berkata perkara itu adalah situasi biasa namun katanya pimpinan Pusat akan memuktamadkan segala keputusan.

"Itu perkara biasa dalam perbincangan. Keputusan akhirnya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan Kerajaan Perpaduan. Kita sedang dalam berunding, saya tidak boleh kata sedia atau tidak, saya boleh kata kita sedang berunding," katanya lagi.