SUNGAI PETANI: Tiga jawatankuasa di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia akan membentangkan laporan peringkat pertama perundingan antara semua parti politik dalam kerajaan pada 19 Mac ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga jawatankuasa itu iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik perlu menyiapkan laporan masing-masing sebelum tarikh itu.

"Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Sekretariat (Kerajaan Perpaduan) Datuk Asyraf (Wajdi Dusuki) bahawa jadual pertemuan antara pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan akan berlangsung pada 19 Mac.

Kami di peringkat jawatankuasa perlu menyiapkan laporan sebelum tarikh itu. Jadi perkara berkaitan perundingan kerusi di peringkat PH sedang berlaku sekarang melibatkan enam negeri ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen PH Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan rundingan kerusi antara parti dalam PH akan dibawa ke peringkat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk dibincangkan bersama Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu.

"Apabila kami duduk dengan BN barulah kita tengok balik, tapi yang pentingnya adalah kesediaan dua blok ini untuk duduk bersama sebab dua gabungan ini (PH dan BN) penting.

Kalau macam di Kedah ini lebih penting sebab kita nak elakkan tiga penjuru, sudah pasti kita nak masuk pilihan raya ini dengan kombinasi PH dan BN sebagai dua komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan ini," katanya.

Pada 7 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa tersebut bagi merangka strategi menghadapi PRN di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

-- BERNAMA