SHAH ALAM: Keputusan untuk mendekati pemimpin di luar komponen Pakatan Harapan (PH), termasuk Barisan Nasional (BN), dibuat secara kolektif oleh kepimpinan gabungan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, tugasan tersebut diberikan kepadanya oleh kepimpinan PH dan bukan dibuat secara bersendirian.

"Apabila kerajaan PH jatuh, parti (PKR) dan PH berbincang, keputusan diambil dan tugasan diberikan kepada beberapa pimpinan tertentu.

"Bermaksud, saya nak tegaskan, ia bukannya Saifuddin berunding; ia adalah keputusan kolektif setelah pimpinan parti dan PH berbincang.

"Ia berbeza dengan Saifuddin pandai-pandai pergi bincang. Saifuddin diberi peranan dan tugasan sesuai dengan keputusan konsensus parti-parti dalam PH.

"Tugasan diberikan kepada saya untuk mendekati pimpinan daripada Sabah dan Sarawak.

"Peranan diberikan juga kepada saya untuk berjumpa parti-parti di luar daripada komponen PH, Ahli Parlimen bebas, Ahli Parlimen daripada parti Islam, UMNO kesemua sekali," katanya

Beliau berkata demikian pada program debat calon Timbalan Presiden PKR bersama Rafizi Ramli, di Sinar Harian pada Rabu.

Program 'Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?' itu berlangsung sejam 30 minit dan dihoskan Amin Idris.

Kerajaan PH tumbang pada Februari 2020 dan diambil alih Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada September tahun lalu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai 'sokongan kukuh dan meyakinkan' untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, yang diperlukan daripada Ahli Parlimen di luar komponen PH adalah komitmen sokongan dan bukannya perpindahan parti.

Beliau turut menjelaskan, pengumuman Anwar mengenai beliau mempunyai sokongan kukuh dan menyakinkan.

"Jika ditanya pengumuman saudara Anwar saya juga akui kita telah menghantar surat ke Istana Negara dan kita telah mempunyai kesemua dokumen undang-undang yang sah yang membuktikan angka sokongan.

"Mana mungkin kita menghantar surat ke Istana Negara dokumen undang-undang dan sebagainya, Istana bukan perbuatan dan kerja main-main kerana itu saya laksanakan tugas saya.

"Jika keputusan akhirnya tidak kesampaian sudah tentu pelbagai perkara lain ikut mempengaruhi.

"Saya ulangi keputusan saya berunding dalam pengetahuan pimpinan parti dan PH," ujarnya.

Tambah beliau, segala perkembangan mengenai hal itu dilaporkan dalam mesyuarat parti dan kesemua ahli parlimen PKR tanpa berselindung.

"Jika ini satu operasi sulit yang sangat memudaratkan mana mungkin kita mengambil pendekatan yang sangat telus kerana ini sebagai ikhtiar disebabkan ketika itu kita kekurangan sejumlah kecil kerusi akibat daripada kehilangan kuasa politik dan episod pengkhianatan.

"....kerana itu boleh tanya kepada saya adakah saya kesal dan menyesal? Saya katakan saya tidak, saya melaksanakan keputusan kepimpinan PH dan saya berikan sumbangan saya.

"Kalau itupun tidak kesampaian, saya belajar daripada episod itu," jelasnya.