POLITIK
Tindakan Tengku Zafrul mengecewakan dari segi moral politik - Nurulhidayah

Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan keputusan Tengku Zafrul itu sebagai mengecewakan secara moral. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan persoalan kepada prinsip kesetiaan dan integriti politik.
Ringkasan AI
- Tindakan Tengku Zafrul keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR menimbulkan persoalan tentang kesetiaan dan integriti politik, terutama kerana beliau pernah memegang jawatan penting dalam parti.
- Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan keputusan itu sebagai mengecewakan secara moral, walaupun sah dari segi hak individu, dan mengingatkan bahawa UMNO bukan platform untuk kepentingan peribadi.
- Beliau menyeru ahli UMNO agar kekal setia dan memperkukuh perjuangan parti, menjadikan tindakan Tengku Zafrul sebagai pengajaran bahawa perjuangan politik adalah untuk masa depan parti, bukan individu.
"Secara peribadi, saya memandang serius keputusan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO (Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua Bahagian Kota Raja) dan hasrat untuk menyertai PKR.
"Beliau adalah individu yang telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan menteri dan dilantik sebagai Senator yang mewakili UMNO tetapi telah mengumumkan satu keputusan besar sehingga menimbulkan persoalan kepada prinsip kesetiaan dan integriti politik.
"Saya yakin, keputusan Tengku Zafrul ini mengecewakan banyak pihak terutamanya di antara komponen BN (Barisan Nasional) yang sedang berhempas pulas dan bertungkus lumus untuk menaikkan semula nama besar gabungan ini di pesada politik tanah air," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.
Nurulhidayah berkata, UMNO tidak pernah menghalang perbezaan pandangan, namun prinsip kesetiaan dan perjuangan bersama tidak boleh dikompromi.
Justeru, beliau mengingatkan ahli parti untuk terus kekal istiqamah, memperkukuh parti dan menjadikan tindakan Tengku Zafrul sebagai pengajaran bahawa perjuangan UMNO bukan tentang individu, tetapi tentang ahli, masa depan parti UMNO dan komponen besar BN secara menyeluruh.
"Siapa pun kita di dalam parti (berjawatan tinggi atau tidak berjawatan), bagi mereka yang kekal setia, marilah kita merapatkan saf perjuangan yang masih berbaki ini," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami