POLITIK
Tindakan tidak boleh dikenakan kepada Dr Akmal saja - Tok Mat

Mohamad ketika menyempurnakan perasmian serentak Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Seremban pada Sabtu.
SEREMBAN: Tindakan undang-undang tidak seharusnya hanya dikenakan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh semata-mata, sebaliknya penguatkuasaan yang adil perlu dilaksanakan terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden pemasangan bendera terbalik di Pulau Pinang
Ringkasan AI
- Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tindakan undang-undang berhubung insiden bendera terbalik di Pulau Pinang perlu dikenakan secara adil terhadap semua pihak, bukan hanya kepada Dr Muhamad Akmal Saleh.
- Beliau menyatakan Dr Akmal hadir dengan niat damai dan bukan untuk mencetuskan huru-hara, serta menggesa semua pihak termasuk DAPSY agar bertindak rasional demi keharmonian negara.
- Mohamad menekankan kepentingan kestabilan politik untuk menarik pelaburan dan mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam ketidaktentuan akibat isu remeh yang diperbesarkan.
“Saya harap semua pihak bertenang. Dr Akmal telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan,” katanya selepas menyempurnakan perasmian serentak Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan di sini pada Sabtu.
Mengulas tindakan ADUN Merlimau itu mengadakan perarakan di Kepala Batas, Pulau Pinang Khamis lalu, Mohamad berpandangan Dr Akmal hadir bukan untuk mencetuskan huru-hara, tetapi dengan misi damai namun telah diprovokasi dan bernasib baik tiada perkara buruk berlaku ketika itu.
Beliau menegaskan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua pihak wajib menghormati peraturan sedia ada dan tindakan undang-undang perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu.
“Undang-undang berkenaan pemasangan bendera telah pun ada. Jika ada pihak yang memasang bendera secara tidak betul, tindakan sepatutnya diambil.
“Kita tidak boleh hanya ambil tindakan terhadap satu pihak, sedangkan yang lain dibiarkan. Kalau pemuda (UMNO) perlu bertindak sendiri, maka apa gunanya kita ada agensi penguatkuasaan?” tegasnya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pihak yang mempermainkan simbol dan panji negara, yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat.
“Ada orang sangat sensitif dengan lambang negara. Kalau panji-panji negara diperlakukan sedemikian rupa, pasti ada yang akan marah.
“Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan supaya rakyat terus hormat kepada undang-undang dan tidak bertindak sesuka hati,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad turut menggesa agar pemimpin DAP menasihati barisan Pemuda mereka (DAPSY) agar lebih rasional dan tidak bertindak melulu yang akhirnya boleh menggugat kestabilan negara.
“Saya harap DAP nasihatkan DAPSY supaya kembali berfikir secara waras. Kalau tidak, nanti akan ada perkara yang boleh mengeruhkan usaha kita mengurus negara bersama,” katanya.
Beliau turut mengakui keperluan semua pihak duduk semeja demi mencari penyelesaian demi keharmonian negara.
“Apa sahaja yang baik untuk negara mesti dilakukan. Malaysia ini negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Kita perlu sangat berhati-hati dalam tindakan.
“Kalau di negara satu bangsa pun boleh berlaku perang saudara, bayangkan di Malaysia yang masyarakatnya sangat rencam,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan bahawa kestabilan politik amat penting dalam usaha menarik pelaburan serta menjamin masa depan ekonomi negara.
“Kita sudah belajar dari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bila negara tak stabil, pelabur pun tidak mahu datang. Malah, pelabur sedia ada pun keluar.
“Kita tidak mahu negara yang baru kita cuba urus ini kembali terjerumus ke dalam keadaan tidak menentu. Jangan biarkan perkara remeh menjadi kudis yang akhirnya merosakkan negara,” katanya lagi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami