Tindakan Tun Mahathir gerakan negatif menjatuhkan UMNO - Ahmad Bashah

Adie Sufian Zulkefli
Mac 20, 2016 03:11 MYT
Menurut Ahmad Bashah (gambar), surat terbuka yang ditulis menerusi blog chedet adalah gerakan negatif yang berhasrat menjatuhkan serta merosakkan UMNO. - Foto Astro AWANI
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyelar tindakan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa ahli cawangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Jelasnya, surat terbuka yang ditulis menerusi blog chedet adalah gerakan negatif yang berhasrat menjatuhkan serta merosakkan UMNO.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata, semua Ketua Cawangan digesa memantau gerakan negatif kerana kebiasaannya orang dalaman parti yang akan cuba merosakkan parti secara senyap.
BACA: Mahathir tiada locus standi campuri urusan UMNO - Shabery
BACA: UMNO cawangan Johor ada hak nilai surat terbuka Tun Mahathir
BACA: Usah pedulikan deklarasi, tindakan untuk rakyat lebih penting - Najib
"Surat terbuka dalam facebook dia (Tun Mahathir) mintak supaya buat usul apa ni itulah gerakan yang negatif yang nak merosakkan parti. Jawatankuasa Bahagian Pemuda dan Wanita pastikan kalau ada orang yang mahu merosakkan UMNO kerana ia berlaku dari dalam parti," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini, hari ini.
Mengulas persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Ahmad Bashah berkata, bermula Mac ini, UMNO negeri akan memberi peruntukan sebanyak RM315,000 sebulan kepada bahagian seluruh negeri sebagai perbelanjaan pentadbiran.
Menurutnya lagi, peruntukan ini akan disalurkan sehingga PRU-14 bagi memastikan semua program yang diatur dapat dijalankan dengan lancar.
#Ahmad Bashah Md Hanipah #chedet #Dr Mahathir #Tun Mahathir #UMNO