KUALA LUMPUR :Umno menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu atas kebijaksanaan dan kearifan mendepani kemelut politik negara.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan malam ini berkata, sejajar dengan titah baginda, beliau berharap seluruh kepimpinan parti politik menumpukan usaha menangani pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia juga selaras dengan keputusan Umno sebelum ini untuk melakukan gencatan politik buat sementara waktu.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar memerlukan musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak.

“Justeru, sewajarnya dimulakan satu inisiatif rekonsiliasi (perdamaian) nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatannya,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, apa yang menjadi keutamaan ketika ini ialah keselamatan dan kebajikan rakyat.

Jelasnya lagi, usaha bersungguh-sungguh perlu dijelmakan dalam mencari keseimbangan antara pengurusan wabak COVID-19 dan kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya menyeru agar kepimpinan politik perlulah benar-benar ikhlas dalam menjayakan cita-cita ini,” katanya lagi.