Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan satu lagi parti politik Melayu disifatkan hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata parti politik bertunjangkan bangsa Melayu sudah banyak selain asas penubuhan parti baharu itu juga dilihat kurang jelas.

"Dari segi realiti untuk menubuhkan parti politik bukan mudah dan ia memakan masa... lagipun buat apa Tun mahu menubuhkan parti Melayu lagi sedangkan beliau pernah mengepalai parti Bersatu. Jadi saya kira paling baik ialah beliau kembali kepada Bersatu atau UMNO.

"Bagi saya menubuhkan satu lagi parti Melayu sudah tidak ada alasan, sebab kita mahu mencari perpaduan... jika tidak hak kita di bawah Perlembagaan akan lumat. Kita hormat beliau tentang inovatif tetapi dalam hal ini rasanya tidak," katanya.

Rais, yang juga Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Serlahan Budi Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Nilai-Nilai Murni Yayasan Budi di Taman Teluk Cempedak, di sini, hari ini.

BACA: Tun Mahathir umum akan tubuh parti Melayu baharu

Semalam, Dr Mahathir menerusi sidang media khas mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan berasingan, Rais berkata beliau telah membuat permohonan secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun untuk menguatkuasakan larangan perbuatan bahasa kasar, kurang ajar dan boleh menimbulkan kepimpinan negatif dalam kalangan Ahli Parlimen semasa bersidang.

"Jika berterusan berkelakuan sebegini, masyarakat kita akan habis...para pelajar dan pemimpin bawahan akan mengikut yang akhirnya boleh menyebabkan negara terkenal dengan pemimpin berkelakuan tidak baik.

"Bagi menggalakkan kesopanan, kita mahu mencari ahli politik yang boleh dijadikan contoh dengan sahsiah ketrampilan baik untuk diberikan hadiah ketokohan," katanya.

Selain itu, Rais juga memaklumkan pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa kerja tulisan jawi bagi melaksanakan pelbagai program memartabatkan dan membudayakan semula tulisan tersebut.

"Pelaksanaannya dijangka boleh dilakukan menjelang Hari Malaysia. Kita hendak mempopularkan tulisan jawi dengan mengadakan pelbagai pertandingan seperti mengarang dalam jawi, membuat poster dan nama-nama jalan," katanya.

-- BERNAMA