KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menghina keputusan mahkamah apabila mendakwa Perikatan Nasional (PN) mengangkat semula calon yang mengamalkan rasuah dan sogokan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 12 Ogos lalu.

Ahmad Amzad membangkitkan perkara tersebut sebelum Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Nor memulakan persidangan Dewan Rakyat pada Khamis, sekali gus mendesak Mohd Sany menarik balik dakwaan berkenaan.

"Saya memetik kata-kata Hulu Langat (iaitu) ‘mahkamah putuskan ada isu berlaku kesalahan dan kemenangan calon Kuala Terengganu dibatalkan dan PN mencalonkan semula calon yang lakukan amalan rasuah dan sogokan'.

"Ini menyimpang daripada warta keputusan hakim mahkamah yang tidak mensabitkan saya dengan kesalahan amalan rasuah dan dalam warta penghakiman tidak menamakan mana-mana pihak.

"Ini menghina mahkamah dan menghina saya sebagai wakil rakyat. Apa yang disabitkan adalah berkaitan program kerajaan dan mahkamah dalam keputusan sama di Kuala Terengganu, di Marang telah memberi keputusan berbeza dan Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyatakan pemberian insentif kerajaan tiada unsur rasuah,” katanya.

Sehubungan itu Ramli menyarankan Ahmad Amzad mengemukakan usul berkenaan sama ada mengikut Peraturan Mesyuarat 36, 18 atau 17 untuk dewan putuskan perkara berkenaan.

"Apa yang dibangkitkan itu ada caranya, saya sarankan Yang Berhormat Kuala Terengganu ambil remedi, buat usul 36 atau 18 atau 17, bangkitkan perkara itu untuk diputuskan," ujarnya.

Sebelum ini PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kerusi dimenangi Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu dibatalkan atas dakwaan rasuah pengundi.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 47,266 undi dalam PRK 12 Ogos lalu. - Sinar Harian