KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya melantik Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, individu yang telah mengkritik beliau dalam memoirnya.

Seandainya diberi peluang untuk mengundurkan waktu, Dr Mahathir berkata, beliau tentu sekali tidak akan memilih Tommy, sebaliknya, melantik individu lain untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Kalau saya tahu jadi begini, saya akan lantik orang lain tentunya. Tetapi pada masa itu, saya fikir ia akan memberi pengalaman baharu untuk ada Peguam Negara yang profesional,” kata negarawan itu dalam wawancara dengan portal Free Malaysia Today.

Dr Mahathir turut mendakwa kritikan yang dibuat Thomas itu ada kaitan dengan krisis kehakiman pada 1987 yang menyaksikan Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara.

Untuk rekod, krisis kehakiman itu berlaku ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama.

“Saya tidak sedar Thomas masih ada kesan sejarah lepas yang nampaknya masih mempengaruhinya,” ujar Dr Mahathir.

Bekas Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau tahu Thomas “menentangnya” ketika menjadi Perdana Menteri buat kali pertama.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir juga memberitahu, beliau sudah menjangkakan orang Melayu akan marah, tetapi tetap meneruskan pelantikan itu.

“Saya fikir TT (Tommy Thomas) bagus, seorang Peguam Negara yang profesional dan akan bertugas mengikut undang-undang dan bukannya kerana beliau buat perkara yang disuruh,” ujar Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir mengulas mengenai tulisan dalam memoir Thomas yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang mana antara kandungan buku tersebut, bekas Peguam Negara itu memberitahu Dr Mahathir mahu beliau meletak jawatan pada hari sama beliau dilantik kerana bimbang dengan kemarahan orang Melayu.

BACA: Tun Mahathir hairan Tommy Thomas tidak faham isu kejatuhan PH

Pada 2018, selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Thomas dilantik sebagai Peguam Negara bukan Melayu yang pertama sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Beliau juga peguam pertama yang dilantik secara langsung memegang jawatan itu.

Pada Rabu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau terkejut membaca petikan daripada buku itu.

“Thomas adalah antara peguam yang bencikan saya,” kata Dr Mahathir.