LANGKAWI: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa parti berkenaan akan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga penyandang kerusi Parlimen itu tidak dapat memberi jawapan sama ada akan sekali lagi dicalonkan untuk bertanding di situ kerana keputusan berkenaan bergantung pada pucuk kepimpinan parti selain keadaan kesihatannya ketika PRU15 diadakan kelak.

Dalam masa sama, beliau berkata, Pejuang ketika ini sedang mengenal pasti beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang berpotensi untuk ditandingi parti itu kelak.

"Pejuang akan bertanding, di mana (di kawasan yang) kita nampak kita boleh bertanding (dan menang di situ), dalam (keadaan) sekarang kita sedang kaji kawasan yang kita boleh bertanding (untuk PRU15).

"Di (Parlimen) Langkawi (saya sahkan) kita akan bertanding, (berkenaan calon itu saya atau tidak), itu tak tau lagi lah, pasail hari ini (saya) sihat, esok tak sihat, mana kita nak tahu, walaubagaimanapun, apa juga yang boleh saya lakukan untuk tolong Langkawi, kita akan buat," kata Dr Mahathir lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, di sini.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengesahkan Pejuang secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai lalu.

Jelasnya, kelulusan itu telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).