Presiden UMNO perlu melunaskan janjinya untuk menyelesaikan isu yang membelenggu parti dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan sokongan akar umbi terus utuh kepada parti, kata penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugam Pandian.

Dr. Sivamurugam menjelaskan, meskipun tidak berlaku sebarang pengguguran mahupun pemecatan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung semalam, namun ia tidak bermakna akar umbi berpuas hati dengan tindakan yang dilaksanakan.

"Apa yang berlaku semalam hanya bersifat sementara, kerana walaupun ada yang menyokong, ada yang menentang, sudah pasti ada sebahagian yang ambil keputusan berada dalam peringkat atas pagar, mengambil sikap tunggu dan lihat apakah sebenrnya yang boleh dilakukan kerana dalam konteks yang berlaku hari ini, jauh berbeza dari 17 tahun lalu pada 1998.

"Hari ini kita lihat bahawa krisis yg berlaku krisis kepercayaan dan keyakinan, perang persepsi yang harus diatasi segera dan ini bukan soal individu tetapi sejauh manakah parti boleh memulihkan keadaan sepenuhnya, " ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Beliau optimis, ahli UMNO sendiri mahu melihat kemelut berpanjangan dalam parti itu diatasi dengan sewajarnya.

"Saya percaya, ahli UMNO mahu melihat kepada kemelut berpanjangan bagaimana ia dapat diatasi kerana selagi isu asas itu tidak ditangani, ia boleh menyebabkan perpecahan, itu boleh membawa kepada perkara-perkara yang lain,"

Dengan pelbagai isu serta konflik yang berlaku, akar umbi akan terus menuntut kebenaran daripada pucuk pimpinan parti.

Dalam tempoh enam bulan seperti yang diminta Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, sama ada ia akan terus memperkuat parti atau sebaliknya.

Justeru kata Dr. Sivamurugam, sekiranya ia gagal dilaksana, ia boleh menyebabkan perpecahan dan seterusnya kepeda pelbagai perkara lain yang boleh melemahkan parti.

"Jadi, usaha untuk merapatkan barisan yang berlaku semalam itu mungkin kita lihat bersifat sementara tapi apakah yang akan berlaku, misalnya, Presiden sendiri minta masa selama 6 bulan untuk menyelesaikan isu sebenar yang berlaku dan dalam konteks itu, pelbagai perkara juga boleh berlaku sepanjang tempoh itu dan ahli sendiri akan ambil keputusan untuk memerhati sebelum buat satu keputusan yang muktumad,"

Tetapi apa yang berlaku haruslah dilihat secara rasional dan praktikal," ujarnya lagi.