IPOH: Sebanyak 24 Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak membuat laporan polis ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga negara berdepan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu, pada Selasa.

Sehingga jam 2 petang tadi, antara Cabang PKR yang telah membuat laporan polis di beberapa Ibu Pejabat Polis (IPD) dan balai di seluruh negeri adalah, Tapah, Lenggong, Ipoh Timor, Gopeng, Padang Rengas, Kampar, Batu Gajah dan Tanjung Malim.

Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata laporan itu dibuat bagi memberi membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu disiasat mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada.

“Tuntutan itu bermula ekoran keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu, seperti kehendak perjanjian, dalam tahun 2013.

“Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan, setelah bayaran itu dihentikan.

“Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia.

“Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Datuk Seri Najib masih menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis ke atas Najib berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Selasa.

Hadir sama Ketua Cabang PKR Tapah, Mohd Noorazam Shah Ahmad Afandi; Ketua Cabang PKR Lenggong, Mohamad Jamean Zulkepli; Ketua Cabang PKR Ipoh Timor, Khairul Salleh Mat Isa serta Naib Ketua Cabang PKR Gopeng,Mohamed Helmi Mohamed Fuzi.

Dalam pada itu, Mohamad Hairul berkata pihaknya mengecam tindakan Najib yang didakwa cuba mengelirukan rakyat dalam isu tersebut dengan menyalahkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan menghentikan bayaran pampasan dibuat oleh pentadbiran Najib Tun Razak pada 2013 semasa beliau masih memegang jawatan Perdana Menteri.

“Dan tindakan undang-undang telah dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu sebelum PH mengambil alih kerajaan.

“Tambah lagi dengan tuntutan waris Kesultanan Sulu yang meminta Kerajaan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada mereka.

“‘Terima kasih’ kepada Najib Tun Razak telah membawa lebih RM100 bilion hutang kepada negara kita,” jelaskan lagi.