HULU SELANGOR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada prinsip mendukung calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan, iaitu Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu biarpun beliau berasal daripada parti DAP yang pernah menjadi seteru mereka satu ketika dulu.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyedari taktik pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan parti pimpinannya dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Bagaimanapun, tegas Ahmad Zahid, UMNO dan BN lebih cenderung untuk membuka lembaran baharu dan terus maju ke hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ini bukan PRK pertama kali yang menyaksikan kerjasama antara mereka, kerana UMNO juga sebelum ini pernah dibantu dalam beberapa PRK lain termasuk di Tioman, Pelangai dan Kemaman.

“Prinsip kami ialah wakil yang akan dipilih pengundi Kuala Kubu Baharu mesti datang daripada parti Kerajaan. Biar apa pun parti wakili Kerajaan Perpaduan, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang akan dipilih mesti mewakili Kerajaan, kerana kita mendukung Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Prinsip kedua, terdapat beberapa PRK di negeri atau Parlimen yang turut didukung oleh pimpinan DAP, Amanah dan juga Keadilan.

“Maka (PRK Kuala Kubu Baharu) ini kritikal untuk mereka dibantu dengan dukungan daripada kepimpinan UMNO dan BN… dan kita merasakan bahawa kita harus membalas jasa mereka di PRK di Tioman, di Pelangai dan juga di Kemaman dahulu,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon PH di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu, di sini, pada Sabtu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, setakat ini jentera UMNO dan MIC telah dikerahkan untuk membantu kempen di lapan Pusat Daerah Mengundi, dan beliau yakin perselisihan faham dengan MCA dapat diurus dengan baik dalam masa terdekat.

“(Mengenai) MCA, kita memahami perasaan mereka tapi Insya-Allah bila kedinginan akan menyeliputi perasaan, saya fikir suasana akan berubah.

“Kita tidak menjangkakan jeda waktu sesuai tapi saya fikir UMNO dan MCA adalah sahabat yang telah lama sejak 1974 dalam BN dan sebelum itu dalam Parti Perikatan… dan mereka merupakan parti teras dalam Perikatan dulu dan BN, saya fikir ia akan dapat disantuni dengan baik,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan tidak akan membantu dalam PRK kali ini memandangkan calon yang datang bukan daripada BN.