KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) membuat keputusan untuk menggantung keahlian bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar daripada parti itu selama enam tahun.

Perkara itu dimaklumkan oleh Noh sendiri kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKT yang diadakan di sini malam ini.

Beliau yang nyata kecewa dengan keputusan yang diumumkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu bagaimanapun berkata bahawa beliau telah meminta agar MKT memecatnya daripada UMNO daripada hanya digantung.

"Saya sangat kecewa dan terkejut apabila Presiden UMNO umumkan bahawa saya digantung enam tahun, sedangkan lembaga disiplin UMNO telah pun menghantar surat untuk saya hadir pada 30 Januari ini.

"Saya kata (pada Presiden) daripada gantung, pecat saja saya dari UMNO dan dia kata okey kalau itu tuan badan nak," katanya kepada pemberita.

Beliau juga memaklumkan bahawa ada beberapa lagi individu lain dalam UMNO yang diambil tindakan sama malah sehingga dipecat oleh parti.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu memaklumkan siapa yang termasuk dalam senarai tersebut, sebaliknya meminta media agar menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh UMNO.