Rakyat Kelantan diminta membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) supaya menikmati hasil positif kerana tidak perlu lagi berhijrah ke luar negeri itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh berkata, ketika ini separuh daripada 1.7 juta rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke beberapa negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan.

Katanya, Barisan Nasional (BN) dilihat mampu melakukan perubahan di Kelantan terutamanya menyediakan peluang pekerjaan akibat kegagalan kerajaan Pas.

"Separuh berada di luar Kelantan - di Lembah Klang dan lain-lain tempat. Jadi kita rasa UMNO kena ambil kesempatan dengan kelemahan yang berlaku di Kelantan kerana Pas nampaknya tidak berupaya mengadakan perancangan untuk rakyat.

"Oleh kerana rakyat di luar negeri ada keinginan balik di negeri sendiri, kalau boleh kita wujudkan sesuatu yang realistik kerana Pas juga berpecah dan tak berupaya lagi nak mengawal kedudukan di negeri Kelantan. UMNO mesti ambil kesempatan," ujar Tengku Razaleigh.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Orang Ramai di Pos Brooke, Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Jumaat.

Tengku Razaleigh juga berkata, untuk mencapai kemenangan pada PRU14, BN perlu mengatur strategi yang lebih baik.

Ditanya pemberita sama ada beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU14, Tengku Razaleigh berkata perkara itu dalam pertimbangannya.

Tengku Razaleigh turut mengakui ada beberapa pemimpin datang berjumpa dengannya supaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang kerana sebelum ini sudah 45 tahun beliau menjadi Ahli Parlimen Gua Musang.