KUALA LUMPUR: UMNO perlu berjiwa besar untuk menerima kerjasama dengan mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjelaskan sikap sombong yang ditunjukkan oleh UMNO amat merugikan.

Mohammad Tawfik menjelaskan, UMNO dan parti seperti Bersatu dan Pas perlu duduk bersama dalam menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

"Duduklah berbincang untuk memastikan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan hari ini terus wujud dan kukuh.

"Platform untuk mengadakan perbincangan dan mengukuhkan kerjasama itu memang ada dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Tetapi saya lihat sukar kerana tidak ada satu persefahaman dan semangat untuk membantu rakyat khususnya pemimpin UMNO peringkat pusat itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI.

Mohammad Tawfik berpendapat, Pas perlu melihat kembali kedudukan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dengan sikap sombong kepimpinan UMNO.

Hujah beliau, Pas perlu memainkan peranan yang lebih berkesan selaku antara parti utama dan mempunyai keahlian yang ramai dalam menyelesaikan kemelut yang melanda kerjasama tiga parti orang Melayu itu.

"Jika keadaan ini berlaku, Pas selaku anggota MN dan juga antara parti yang mempunyai keahlian yang ramaiperlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam MN.

"Kerana dalam politik ini jika tidak menguntungkan mana-mana parti politik dalam gabungan maka perlu buat keputusan segera dan drastik untuk survival parti politik dalam gabungan," katanya lagi.

Beliau menjelaskan keputusan segera dan drastik perlu dibuat bukan hanya untuk menghadapi PRN Melaka tetapi juga PRU15.

UMNO pula jelas beliau, perlu juga membuat perubahan segera untuk memastikan dapat meyakinkan pengundi dalam PRU15 nanti.