KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil iktibar daripada putaran politik yang menyaksikan parti itu pernah berada di puncak sebelum melalui tempoh sukar sejak lapan tahun lalu.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ketika berada di atas, parti itu ditatang, dipuji dan disokong.
Namun, ketika berada di bawah, UMNO berdepan cemuhan, serangan dan fitnah yang akhirnya menjadi pengajaran serta sumber kekuatan kepada parti.
“Ada masa kita naik, ada masa kita turun. Masa kita naik, kita ditatang, dipuji dan disokong.
“Tapi masa kita turun pada lapan tahun sebelum ini, kita dicemuh, diserang dan difitnah,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurutnya, terpulang kepada barisan kepimpinan semasa untuk memastikan putaran politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menuju ke atas.
"Terserah kepada pemimpin-pemimpin parti sekarang untuk menentukan bahawa putaran itu untuk UMNO dan Barisan Nasional terus arahnya ke atas," katanya.
Beliau turut menyifatkan ucapan Ahmad Zahid sebagai antara yang terbaik pernah didengarnya.
"Saya harap bahawa ia (ucapan presiden) boleh meletakkan kita pada atas landasan yang betul," katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, hala tuju UMNO selepas ini banyak bergantung kepada sejauh mana pemimpinnya memahami dan menghayati pesanan tersebut.