PONTIAN: UMNO mendakwa tidak pernah wujud perbincangan berhubung pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) semasa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak pernah mengetahui adanya perbincangan cadangan untuk jawatan TPM berkenaan.

Katanya ahli MKT UMNO tidak pernah dimaklumkan perkara tersebut (jawatan TPM) dan menganggap isu itu tidak wujud.

"Jawatan TPM itu, ianya tidak pernah kami Ahli MKT UMNO ketahui ada perbincangan mengenai cadangan untuk melantik Bersatu sebagai TPM, ahli MKT tidak pernah dimaklumkan perkara itu, oleh kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan maka kami berpendapat isu itu tidak wujud pada kami.

"Apa yang kita lihat penerusan menteri-menteri kanan, itulah yang kami faham tidak ada jawatan TPM dan yang ada hanya empat menteri kanan.

"Jadi dia (Bersatu) sudah ada dua menteri kanan apahal dia (Bersatu) hendak TPM lagi. Pada ketika ini sudah ada empat menteri kanan, dua daripada Bersatu, satu daripada UMNO, satu  daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Oleh kerana dia (Bersatu) sudah ada dua menteri kanan saya kira tidak wajar dia tuntut sorang lagi TPM, saya kira tuntutan itu tidak wajar. Seperkara lagi ahli MKT tidak pernah dimaklumkan jawatan TPM ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan daging korban di Benut, di sini, hari ini.

BACA: Muhyiddin bincang dengan PM berkaitan lantikan TPM

Sebelum ini, dilaporkan, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa perjanjian di antara PN dengan Datuk Seri Ismail Sabri mengenai jawatan TPM sememangnya wujud.

Malah Marzuki mendakwa, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan perdana menteri.

[TERKINI] Wujud perjanjian Timbalan Perdana Menteri - Datuk Dr Marzuki Mohamad