KUALA LUMPUR: Pelaksanaan usul undi percaya di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri ke-9 nanti dilihat mampu mengelakkan isu keabsahan terhadap pembentukan kerajaan baharu berulang.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berpandangan, titah oleh Yang di-Pertuan Agong itu berkemungkinan dibuat selepas mengambil kira situasi semasa politik dan tauladan yang berlaku selepas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lalu.

"Jadi ini mungkin satu proses untuk memastikan walaupun ia bukan dalam bentuk perundangan tetapi untuk memastikan ahli Dewan Rakyat itu sebenarnya telah menerima dan memberikan pengesahan.

"Walaupun pengesahan itu dalam konteks Raja Berpelembagaan kita, ia bukan suatu yang wajib tetapi ini untuk meredakan suasana ataupun persepsi politik kepada kerajaan yang dibentuk nanti kerana melalui pengalaman sebelum ini, yang dikatakan tidak ada prosedur sedemikian ketika pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Mac 2020," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga Pakar Perlembagaan berkata undi percaya terhadap Perdana Menteri hanya satu bentuk amalan.

Namun, ia pernah dilaksanakan di Dewan Rakyat tanpa titah Seri Paduka Baginda, tambahnya.

"Saya fikir sebelum ia pernah dilakukan, maksudnya tanpa titah Tuanku. Pertukaran transisi kuasa daripada seorang Perdana Menteri kepada Perdana Menteri yang baharu seperti semasa (pemerintahan) Tun Abdullah Ahmad Badawi dan (Allahyarham) Tun Hussein Onn.

"Ia tentang menunjukkan sokongan atau kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dilantik, bukan hasil daripada pilihan raya tetapi kerana transisi kepimpinan. Dari sini, kita nampak ia adalah satu amalan kerana ia tidak ada dalam peruntukan perlembagaan untuk pengesahan tentang apa yang dititahkan atau diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda tentang pelantikan Perdana Menteri," katanya. 

BACA: PM terpilih menerusi SD perlu kemuka usul undi percaya di Parlimen - Agong

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?

Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?

Ketika zaman pemerintahan Tun Hussein pada 1976, undi percaya diminta untuk mengetahui sama ada beliau mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri baharu selepas menggantikan Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia.

Sementara ketika pentadbiran Tun Abdullah, undi percaya dibuat selepas beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet meletak jawatan selepas hilang majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia susulan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin.