Umum sudah tahu pada 8 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) melalui calonnya, Halimey Abu Bakar menang PRK Seri Setia, mengalahkan calon Pas, Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.

Namun, persoalannya adakah kemenangan ini sudah cukup memberi keselesaan kepada PH?

Kalau dibandingkan majoriti undi yang diperoleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada PRU-14, ia menyaksikan beliau memperoleh majoriti undi 19,372.

Kesempatan ini lalu diambil Pas untuk terus diangkat sebagai 'kemenangan' di sebalik kekalahan di DUN Seri Setia.

Bekas calon di DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata walaupun secara rasmi keputusan PRK Seri Setia berpihak kepada PH tetapi di sebalik kemenangan itu, Pas sebenarnya mencipta pelbagai pencapaian yang sangat membanggakan.

"Berbeza dengan Pas, sewaktu PRU14 lalu hanya memperoleh 4,563 undi sahaja tapi pada PRK kali ini kita berjaya mencatatkan peningkatan jumlah undi kepada 9,689 undi," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pas TTDI Jaya semalam.

Malah, Pas menyifatkan misi untuk menurunkan majoriti undi PH dalam PRK Seri Setia adalah berjaya disebabkan kerjasama strategik bersama UMNO.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama tersebut membuktikan bahawa sebahagian besar pengundi Melayu masih menaruh kepercayaan terhadap Pas dan UMNO.

Malah, jumlah undi popular yang diberikan kepada Pas didakwa melonjak tinggi dan sebaliknya PH mengalami kemerosotan undi popular sebanyak 8 peratus.

Bagi Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Redzuan Othman, beliau melihat masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada PH terkesan dengan keputusan dua PRK iaitu di Balakong dan Seri Setia.

Perkara itu disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah menyebabkan kesimpulan awal sukar untuk dilakukan.

"Analisis awal kedua-dua PRK (Balakong dan Seri Setia) dan PRK Sungai Kandis sukar untuk membuat kesimpulan kerana apa yang ketara jumlah keluar mengundi itu agak kurang.

Malahan, mengikut rekod pilihan raya, ini merupakan peratusan terkecil sekali khusus di DUN Balakong.

"Dengan peratus sebegitu, sukar untuk membuat kesimpulan kecuali dalam PRK ini sebagai contoh parti yang sebelum ini tidak menang akan menang.

Namun kalau pertambahan undi, ia cuma memperlihatkan bahawa adanya sedikit perubahan yang mungkin perubahan, tetapi untuk buat kesimpulan sukar kerana faktor tidak keluar mengundi harus diambil kira, kenapa mereka tidak keluar mengundi," katanya kepada Astro AWANI.

Justeru, beliau lebih cenderung untuk mengkaji terlebih dahulu kenapa ramai pengundi tidak keluar mengundi.

"Daripada tiga PRK, antara faktor terbesar ialah apabila pilihan raya baharu sahaja diadakan dan kerajaan yang memerintah akan kekal.

"Dalam PRU sebelum ini, mereka keluar mengundi untuk menukar kerajaan. Bagaimanapun, berbeza kali ini. Maka bagi mereka PRK tidak membawa sebarang perubahan.

"Kedua, pengundi telah keluar mengundi sejak 2004. Maka sebahagian besar pengundi tidak menyedari mereka terlibat dengan PRK.

"Ini disebabkan persempadanan semula pada tahun lepas kerana ini memberi kesan besar," katanya lagi.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Balakong dan Seri Setia menyaksikan masing-masing hanya mencatatkan 43 peratus dan 44 peratus, lebih rendah berbanding PRK Sungai Kandis.

Angka itu juga tersasar daripada angka yang dijangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sebanyak 70 peratus pada hari pengundian.