Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan mencipta sejarah apabila buat kali pertama calon yang akan bertanding untuk kerusi itu merupakan calon wanita.

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah menamakan Georgina L George, 45, sebagai calon di kerusi N38 Paginatan, dalam menuju kehangatan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 nanti.

Menurut Georgina yang sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam jurusan Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, suatu sejarah bagi parti UPKO kerana sebelum ini tidak pernah mengetengahkan calon wanita untuk kerusi berkenaan.

"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberikan kepercayaan kepada calon wanita pada kali ini bagi kerusi N38 Paginatan.

"Ini juga buat julung-julung kalinya untuk golongan wanita dinaikkan sebagai calon pada pilihan raya pada kali ini," katanya yang ditemui selepas menerima watikah pencalonan di Kota Kinabalu pada Khamis.

Jelasnya, kerusi tersebut sebelum ini hanya disandang wakil rakyat lelaki dan tidak pernah ada pencalonan dari mana-mana parti yang mencalonkan wanita.

"Saya melihat ini satu usaha memperkasakan wanita terutama sekali kawasan N38 ini di mana di kawasan ini boleh dikatakan kawasan luar bandar serta membuktikan walaupun wanita berada dalam kawasan luar bandar juga mampu dinaikkan sebagai pemimpin di kawasan ini," jelasnya.

Tambah Georgina, biarpun telah banyak usaha pembangunan yang dilakukan pemimpin-pemimpin terdahulu namun menegaskan usaha pembangunan perlu dilipatgandakan bagi membangun kawasan-kawasan pedalaman.

Antara perkara pembangunan yang disuarakan beliau adalah berkenaan pembangunan wanita-wanita luar bandar terutama dalam usaha golongan itu menambah ekonomi keluarga.

"Isu-isu yang dihadapi kawasan Paginatan ini sejak dulu lagi adalah berkenaan isu pembangunan. Ia adalah isu utama kerana banyak lagi keperluan pembangunan yang perlu diberikan kepada penduduk-penduduk di N38 Paginatan.

"Walaupun ada usaha-usaha dari pemimpin dahulu tetapi kita memang akui masih tidak mencukupi disebabkan masih ada kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan jadi kita akan teruskan pembangunan itu.

"Pada masa sama, kita ingin membangunkan ekonomi penduduk di kawasan Paginatan dan memberi peluang terutamanya kaum wanita untuk membantu mereka menjana pendapatan keluarga.

"Kita akan membuat perancangan untuk bagaimana kita boleh memnbantu wanita-wanita di kawasan-kawasan luar bandar untuk sama-sama menyumbang kepada ekonomi keluarga mereka," katanya.