KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MIC Kebangsaan, J. Usha Nandhini mengumumkan akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat sayap yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Beliau berkata borang pencalonan akan dikemukakan olehnya pada hari penamaan calon Jumaat ini setelah mendapat sokongan lebih daripada 50 ketua wanita cawangan parti berusia 74 tahun itu.

"Saya telah mendapat restu dan sokongan daripada Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran untuk bertanding dalam pemilihan kali ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat MIC di sini semalam.

Usha Nandhini. 49, turut mengumumkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Dr Tanaletchumy Palanisamy akan bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua Wanita MIC.

Usha Nandhini pernah menjadi Ketua Puteri MIC dari 2003 hingga 2013 sebelum dipilih menjadi Ketua Wanita MIC setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.

Beliau yang berkelulusan sarjana muda dalam bidang Antropologi, Sosiologi dan Sejarah daripada Universiti Malaya pernah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada 2008 hingga 2011.

Menjawab desas-desus mengenai bekas Ketua Wanita MIC, Datuk M Mohana yang akan turut bertanding jawatan Ketua Wanita MIC, Usha Nandhini berkata ia merupakan pemilihan yang diadakan secara demokrasi dan sesiapa boleh menjadi calon apabila memenuhi syarat berdasarkan perlembagaan parti.

"Saya mengalu-alukan persaingan sihat. Apabila terdapat pertandingan maka ia membuktikan parti ini masih kukuh dan unggul," katanya.

Terdapat desas-desus yang mengatakan dua kumpulan yang diketuai oleh Usha Nandhini dan Mohana akan bertanding untuk beberapa jawatan dalam sayap wanita parti berkenaan.

Penamaan calon sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri bagi peringkat kebangsaan dan bahagian akan diadakan pada Jumaat ini manakala pemilihan dijadualkan pada 30 Okt.

Menurut Perlembagaan MIC, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun sekali.

-- BERNAMA