KUALA LUMPUR: Rakyat perlu diberi hak untuk menentukan mandat melalui pilihan raya umum selepas kegagalan kerajaan meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini kerana kegagalan meluluskan usul tersebut berlaku ketika mana kerajaan mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Jelas beliau lagi, perkara itu juga penting kerana ia melibatkan persepsi rakyat terhadap kedudukan kerajaan.

"Jadi sebab itu kita kena ingat, ya betul YB (Anthony Loke) memberikan penjelasan dan menjelaskan perkara yang benar sebab kita ada MoU (Memorandum Persefahaman).

"Dalam MoU itu jelas mengatakan boleh buat itu dan buat ini... Tetapi saya nak sebut, politik juga adalah mengenai persepsi. Jadi, persepsi rakyat dengan majoriti yang ada, kita kalah... Tak kira orang tak datang mengundi (atau apa alasan), faktanya ialah kita (kerajaan) telah kalah.

"Perkara yang betul sekarang (kita) mempunyai alasan untuk mengadakan PRU. Tetapi ini bukan keputusan saya, tetapi keputusan parti saya.

"Ini hak mereka untuk mengundi kerana kita kalah dan MoU yang tidak diikuti. Walaupun mereka (blok pembangkang) kata mereka akur tetapi di pihak kita (kerajaan), kita tidak akur dan bagi rakyat biasa mereka melihat persepsi. Macam mana di masa akan datang kita nak dapatkan kelulusan RUU?," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata perkara sama turut diamalkan di United Kingdom apabila sesuatu usul yang dibawa oleh blok kerajaan gagal mendapat sokongan.

Kerajaan kalah dalam isu SOSMA, perlu pertimbangan rakyat - Nazri Aziz


Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hilang kepercayaan walaupun usul SOSMA gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

Ini kerana katanya, isu SOSMA tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) ketika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.

Selain itu, Loke (PH-Seremban) membidas Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang mendakwa MoU antara PH dan kerajaan telah terbatal susulan daripada kegagalan meluluskan usul SOSMA.