Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, isu perletakan jawatan seorang lagi Ahli Undangan Negeri Inanam PKR Sabah, Ronald Chia memperlihatkan calon-calon pakatan pembangkang adalah terdiri daripada calon-calon yang tangkap muat dan bukannya yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.

Menurut beliau, isu berhubung perletakan jawatan ahli parlimen dan ADUN pakatan pembangkang, khususnya dari PKR jelas membuktikan bahawa calon-calon yang dipilih oleh parti tersebut tidak memenuhi kriteria sebagai seorang wakil rakyat.

"Sebelum ini kita lihat bagaimana dalam langkah Kajang, PKR meminta ADUNnya meletakkan jawatan demi kepentingan politik peribadi mereka. Tindakan ini jelas memperlihatkan bahawa PKR tidak langsung mempedulikan tentang pembaziran duit rakyat serta amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka demi untuk mencapai kehendak politik peribadi mereka.

"Apabila berlakunya sesuatu konflik di dalam parti mereka, atau pun hasrat dan kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi oleh kepimpinan parti, maka mereka bertindak untuk meletakkan jawatan di mana tindakan mereka itu jelas merupakan satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan satu pembaziran wang, tenaga dan masa," tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Katanya lagi, perkara ini berlaku adalah kerana sikap kepimpinan pakatan pembangkang yang telah mempergunakan sistem demokrasi ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.

"Kepimpinan pakatan pembangkang telah memanipulasikan sistem demokrasi di negara ini untuk mencapai cita-cita dan kehendak politik kepartian atau peribadi mereka. Sebab itu, mereka tidak peduli tentang soal amanah rakyat atau pun pembaziran wang rakyat.

"Dan secara tidak langsung, rakyat di negara ini juga turut dipergunakan oleh kepimpinan pakatan pembangkang ini demi kepentingan politik peribadi mereka. Namun mereka bijak menyembunyikan perkara ini dengan mengalihkan perhatian rakyat kepada BN dengan persepsi negatif yang mereka cipta untuk melindungi niat jahat mereka itu," tegasnya.

Justeru itu, beliau sangat mengharapkan agar rakyat menilai dengan pemikiran yang rasional berhubung siapa yang patut dipilih untuk menjadi wakil rakyat dan parti mana yang lebih layak untuk mentadbir negara ini.

"BN sudah mempunyai rekod sejak dari dulu lagi. Walaupun mungkin tidak sempurna, namun setakat ini BN yang ditunjangi oleh UMNO berjaya membangunkan negara, serta tidak mempergunakan rakyat demi kepentingan dan agenda politik peribadi mereka," akhirinya.