KUALA LUMPUR:Meskipun ketika ini fokus Perikatan Nasional (PN) terarah kepada menangani COVID-19 dan memulih ekonomi negara, perikatan itu tetap perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya apabila tiba waktu yang sesuai.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata persediaan menghadapi pilihan raya adalah penting bagi menzahirkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti dengan ketetapan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat semalam.

"Sebagai parti politik kita harus bersedia dengan segala kemungkinan dan untuk maksud itu ketua-ketua parti secara sebulat suara telah meletakkan tanggungjawab ini kepada saya. Saya amat menghargai keyakinan dan kepercayaan mereka kepada saya untuk mengemudi jentera pilihan raya PN.

"Saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dan sedaya upaya saya untuk memastikan prestasi PN ini terus diperkukuhkan dengan mendapat dukungan daripada rakyat keseluruhannya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-19, yang merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya.

-- BERNAMA