KUALA LUMPUR: Ahli  Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini adalah gagal.

Membandingkan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2021, Wan Ahmad Fayhsal berkata lawatan Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini lebih berjaya daripada lawatan Ahli Parlimen Tambun itu.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional turut mempersoalkan adakah pemimpin tertinggi Arab Saudi enggan bertemu dengan PM Anwar.

“Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu Perdana Menteri… sebab kalau lihat laporan media agensi di Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota, semuanya ada di Jeddah ketika Perdana Menteri hadir pada waktu itu.

“Mereka bukan di luar negara, ini timbulkan persoalan. Apakah hubungan Malaysia dan Arab Saudi jadi dingin?

“Mungkinkan kerana penutupan King Salman Centre For International Peace ketika zaman Pakatan Harapan dulu? Ini membimbangkan kita,” katanya.

Justeru, beliau menuntut penjelasan daripada kerajaan dan berharap Perdana Menteri menjawab persoalan itu dalam Dewan Rakyat pada Selasa dalam sesi soal jawab bersama Perdana Menteri.

Tegasnya, beliau akan berada di dalam dewan esok bagi mendengar penjelasan tersebut yang beliau sifatkan insiden memalukan negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Parlimen pada Isnin.