Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sah dipilih menjadi Ketua Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal 2019-2022.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Ketua Armada pula merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Clarence Bongkos Malakun, iaitu Caesar Mandela Malakun.

Wan Ahmad Fayhsal, yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa, telah mengenepikan pencabarnya iaitu Muzzammil Ismail.

Dalam ciapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui sayap parti itu.

“Fokus kita adalah #PenyatuanARMADA dan Bersatu itu sendiri. Dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia terutamanya #AnakMuda,” katanya.


Syed Hamid dalam kenyataan itu berkata, sebanyak 173 bahagian Armada layak bersidang secara serentak semalam, namun sembilan bahagian tidak dapat bersidang kerana kekurangan korum seperti mana yang diperlukan mengikut Perlembagaan Bersatu.

Selain itu beliau berkata, 9,496 perwakilan telah membuang undi bagi memilih Jawatankuasa Armada Malaysia bagi penggal 2019-2022.

Berikut keputusan penuh pemilihan Armada

Pengerusi Tetap: Akmal Zahin Zainal Tahir
Timbalan Pengerusi Tetap: Mohamad Syaiful Ibrahim Shahli
Ketua Pemuda: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Naib Ketua Pemuda: Caesar Mandela Malakun

Turut dipilih adalah 15 Ahli Jawatankuasa Armada Malaysia.