KOTA BHARU: Kadar penceraian yang tinggi di negeri ini khususnya di Kota Bharu sehingga merekodkan antara 30 hingga 40 kes sehari mendorong Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan menubuhkan klinik guaman.

Biro undang-undangnya, Norizan Ab Rahman berkata, inisiatif tersebut dibuat bagi membantu wanita menghadapi kesulitan dari segi kos guaman untuk menghadapi kemelut rumah tangga.

"Sekarang ini yang ada hanyalah jabatan guaman sahaja dan ia menyediakan khidmat dengan kos yang begitu rendah.

"Selebihnya adalah swasta dan kita tahu ia melibatkan kos tinggi serta di luar kemampuan wanita yang sedang diuji," katanya semasa sidang akhbar pada majlis pelancaran Klinik Guaman Wanita PH Kelantan di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain.

Dalam pada itu, Norizan berkata, situasi itu menyebabkan kebanyakan wanita memilih memendam rasa sambil menunggu pengakhiran takdir hidup mereka.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak ada kemampuan, ditindas, ditinggalkan suami, duit tidak ada, hendak ambil peguam pula, semua itu sukar.

Beliau memberitahu, jabatan guaman yang disediakan kerajaan adalah terhad dan tidak semua kes mereka ambil.

"Kami ambil inisiatif ini untuk membantu wanita dan setakat ini peruntukan sudah ada iaitu dana dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Wanita yang terkesan boleh mendaftar melalui QR code dan kami akan hubungi serta mengadakan perjumpaan. Bayaran minima dikenakan kerana ia bersubsidi," katanya.

Ujar beliau, cara seperti ini sudah ada di negeri lain seperti Selangor dan ia merupakan yang pertama di Kelantan. -Sinar Harian