KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu lebih berani membawa suara wanita dan keluarga, memahami keresahan rakyat, mendekati generasi baharu dan menjadi jambatan dalam membina semula serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap UMNO, kata Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata peranan Wanita UMNO perlu terus berkembang selari dengan perubahan medan perjuangan masa kini, memandangkan sayap itu sentiasa menjadi kekuatan utama yang menggerakkan parti merentasi pelbagai zaman sama ada ketika mengecap kemenangan mahupun berdepan ujian.
โDaripada satu generasi ke satu generasi, semangat perjuangan itu terus diwariskan. Ia hidup di setiap negeri, bahagian dan cawangan, serta paling penting, berakar kukuh di tengah masyarakat.
โWanita UMNO bukan sekadar tulang belakang parti tetapi antara wajah UMNO yang paling dekat dengan rakyat,โ katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesetiaan dan pengorbanan Wanita UMNO yang kekal teguh berdiri serta berjuang bersama parti itu walaupun ketika diuji.
โSelamat Ulang Tahun ke-77 kepada Wanita UMNO Malaysia. Teruslah menjadi kekuatan yang menyatukan, tangan yang menyantuni dan nadi yang menghidupkan perjuangan.
โDengan kesetiaan, keberanian dan kekuatan Wanita UMNO, kita akan terus melangkah bersama membawa UMNO ke hadapan,โ katanya.
-- BERNAMA