KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil mempertahankan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada desakan agar beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Dalam satu himpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang di depan Ibu Pejabat UMNO hari ini, Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam (WarisPEKEMBAR) Perlis, Shahbudin Embun, berkata, adalah tidak wajar untuk meletakkan beban ke atas Ahmad Zahid semata-mata, ekoran prestasi UMNO sewaktu PRN enam negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, kebijaksanaan Presiden UMNO terserlah apabila parti itu masih mampu berada dalam tampuk pemerintahan, biarpun parti itu hanya mampu memenangi 26 kerusi Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum lepas.

“Perlu diingatkan… semua ahli UMNO mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas jatuh bangun parti itu. Jangan hanya pandai bersorak apabila memang, tetapi terus diam dan bisu apabila kita kalah. Bahkan lebih buruk, mula menuding jari menyalahkan pelbagai pihak, sedangkan diri anda sendiri tidak melakukan apa-apa untuk parti keramat ini.

“Kitalah yang akan menentukan Kerusi Kepresidenan UMNO mesti dihormati dan dikekalkan demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Shahbudin mendakwa, desakan dari dalam dan luar parti yang didakwa didalangi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, ibarat cubaan untuk ‘menghancur’ dan ‘mentalqinkan’ UMNO.

Tegasnya lagi, jika benar ada pihak mahu mencabar jawatan Presiden, perkara itu boleh dilakukan sewaktu pemilihan parti UMNO untuk penggal seterusnya.

Dalam pada itu, Shahbudin berkata, Pemuda dan Puteri UMNO dilihat seperti lemah dalam mempertahankan institusi presiden, dan sayap parti berkenaan juga dilihat gagal menarik undi pengundi muda sewaktu PRN yang lepas.

Atas sebab itu beliau berkata, WarisPEKEMBAR, bersama NGO-NGO sahabat seperti Veteran MAYC dan Alumni 4B, akan menganjurkan Himpunan Solidariti bersama Presiden UMNO secara besar-besaran di Kemaman, Terengganu, pada 30 Ogos, dengan sasaran kehadiran seramai 5,000 orang.