KOTA BHARU: Warna pada logo Perikatan Nasional (PN) memerlukan pengubahsuaian kerana ianya dilihat mengelirukan pengundi untuk memilih antara PN dan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan pengundi menjadi keliru dengan logo PN berdasarkan dua pilihan raya negeri baru-baru ini, di Johor dan Melaka.

Perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan ianya masih meneliti logo dan warna yang sesuai digunakan.

"Sebahagian pengundi keliru kerana warna sama, PN dan BN warna biru yang seakan sama dengan BN yang menyebabkan sebahagian pengundi kita jumpa mati-mati sokong Muhyiddin tetapi undi BN, jadi keliru kerana warna.

"Maka Majlis Pimpinan Tertinggi setuju untuk kaji keperluan warna berbeza dengan BN dan keduanya logo, PN tak ada logo yang ada tulisan. Kita mesyuarat keperluan adakan logo bagi PN," katanya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pengubahsuaian logo itu dijangka selesai sebelum Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU15) nanti.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan ketika ini Pas masih belum memutuskan lagi penggunaan logo PN untuk bertanding pada pilihan raya nanti kerana perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Pas nanti.

Terdahulu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan dalam PRU15 nanti.

Muhyiddin berkata ianya susulan cadangan untuk mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.