KUALA LUMPUR: Langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri Sabah ketika ini adalah dengan mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Menurut Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad, meskipun ia sesuatu yang baharu di peringkat negeri, namun dengan kaedah itu ia diyakini mampu meredakan kemelut yang berlaku.

"Senario terbaik boleh saya gambarkan saat ini, (mewujudkan) Kerajaan Perpaduan dalam konteks Negeri Sabah, dimana semua parti menganggap diri mereka berhak di tampuk kerajaan Sabah berada di bawah satu bumbung.

"Macam mana dilakukan, sama ada saiz Kabinet Sabah bertambah besar, ada pihak-pihak menganggap tidak akan ada pembangkang di negeri ini, atau ia bersifat jangka masa pendek, tetapi itu lah senario terbaik di Negeri Sabah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Pantau Kerajaan Baharu: Kemelut Politik Sabah | Sampai bila mahu selesai?


Tambah Syahruddin, meskipun bersifat bukan kerajaan campuran mahupun minoriti, namun Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang itu amat penting demi hala tuju kerajaan negeri agar terus berjalan.

Ia sekali gus dapat mengurangkan impak negatif kepada ekonomi serta politik di negeri itu.

"Dimana Kerajaan Perpaduan yang sebenar iaitu kerajaan tanpa pembangkang yang pertama di Malaysia, di Sabah buat pertama kali bukan bersifat kerajaan campuran dan minoriti boleh diwujudkan.

"Itu penyelesaian menang-menang, bukan setakat imbuhan agihan jawatan di peringkat negeri, tetapi juga imbuhan perkara lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), atau apa yang dihasrat oleh parti politik itu boleh terus disuarakan kepada Perdana Menteri.

"Atau pihak yang menjadi pengantara dalam isu ini boleh dipenuhi, saya yakin parti lokal di negeri Sabah saat ini mempunyai hasrat dan impian masing-masing boleh dipenuhi," katanya lagi.

Mengulas lanjut ujar Syahruddin, sekiranya tiada jalan tengah atau penyelesaian diambil, dikhuatiri perkara yang tidak diinginkan boleh berlaku seperti kemelut politik yang berpanjangan.

"Jalan tengah perlu dicari kalau tidak ia akan membawa kepada satu perkara yang kita tidak suka," ujarnya lagi.

Kemelut politik di negeri Sabah tercetus apabila wujud pertikaian dalam kalangan parti-parti politik di negeri itu mengenai kedudukan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.