Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya jawatan pemangku Timbalan Presiden dimaktubkan dalam perlembagaan parti sebagai memperjelas bidang tugas sekiranya berlaku kekosongan kerusi nombor dua itu.

Menurutnya, ketika ini jawatan tersebut tidak wujud, berbeza dengan Pergerakan Pemuda yang termaktub jawatan pemangku Ketua Pemuda.

Melihat perkara tersebut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berpendapat ia perlu diselaraskan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

"Perkara ini telah berlaku tiga kali, saya sudah sebut iaitu pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), zaman Perdana Menteri sendiri dan zaman saya.

"Cuma menjalankan tugas-tugas. Perkara itu silent, jadi sukarlah," katanya selepas menutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden UMNO kosong selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), digantung daripada jawatan tersebut.

Berhubung cadangan tersebut, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar diadakan satu Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Tahunan.

"Kita akan bawa ke mesyuarat pengurusan dan kita akan lanjutkan untuk dapat kelulusan Majlis Tertinggi supaya terdapat dua sesi perhimpunan.

"Biar usul konvensyen ini akan terfokus kepada sepanjang perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), dalam EGM pula tentang pindaan perlembagaan," ujarnya.