KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau telah bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Penjara Kajang baru-baru ini.

Jelas Ahmad Zahid, selain melawat bekas Presiden UMNO itu, beliau turut berkesempatan bersarapan makanan kegemaran bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

"Saya sendiri telah bertemu Datuk Seri Najib dan melawat beliau dalam penjara. Saya sempat bersarapan dengan beliau dan saya bawa semua makanan kegemaran beliau untuk kami bersama.

"Sekarang beliau sedang meneruskan pengajian PhD (doktor falsafah) dalam penjara. Bila saya pergi ke Penjara Kajang, saya bawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah," jelasnya.

Selesai bersarapan, jelas Ahmad Zahid, beliau turut diberi ruang untuk meluangkan masa berbual dengan Najib.

Tegasnya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa komited untuk membela nasib Najib agar diberikan keadilan sepenuhnya.

"Selepas tempoh setengah jam, saya (adakan pertemuan) empat mata dengan Datuk Seri Najib selama satu jam 30 minit, tidak perlu saya kongsikan apa dibincangkan.

"Insya-Allah komitmen MKT mendapat mandat peringkat bahagian dan cawangan, MKT komited untuk membela Najib Razak supaya diberikan keadilan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.