KUALA LUMPUR: Perbezaan pendapat antara MCA dan DAP adalah perkara biasa dalam politik, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, senario yang sama pernah berlaku antara MCA dan Gerakan ketika parti itu masih menjadi kompenen BN dahulu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihatkan kedua-dua parti untuk mencari titik tengah dalam setiap perbezaan pendapat.

"MCA dan DAP perlu selesaikan sendiri perbezaan pandangan," katanya sebagai respon terhadap beberapa tindakan pemimpin MCA dan DAP yang berbalas kenyataan dan kritikan di media sosial.

Beliau yang juga  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas Mesyuarat Koordinasi Bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Felda di Ibu Pejabat Felda hari ini.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, mengesyorkan MCA keluar daripada BN kerana beberapa tindakannya didakwa tidak berprinsip sehingga menimbulkan persepsi orang ramai bahawa 'MCA agak sesat.'