PUTRAJAYA: Tidak ada sebarang cadangan atau usaha dilakukan untuk menawarkan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid juga mengesahkan tiada perjumpaan rasmi di antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan Pas.

Presiden UMNO itu menjelaskan, ketika ini semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mengutamakan kestabilan politik.

“Perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam kalangan 19 pemimpin parti-parti yang mengganggotai Kerajaan Perpaduan, tidak juga dibincangkan dalam kalangan pengerusi-pengerusi gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin atau lapisan kepimpinan berkenaan, itu kami tidak pernah menganggap satu perjumpaan rasmi tidak ada satu move (langkah) pun dibuat ke arah itu.

"Hakikatnya  kestabilan politik yang sedang wujud  di Malaysia (penting) walaupun kita berbeza pendirian dan pendapat. Ia harus diraikan mengikut tatasusila menangani perbezaan pendapat, kalau mereka faham tentang aspek berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Bangunan Perdana Putra.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, tidak ada satu parti yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan akan mempercayai Pas khususnya mengenai dakwaan yang dibuat.

“Oleh demikian apa pun dakwaan yang dikeluarkan mana-mana pihak yang perasan mereka sangat-sangat diperlukan mereka harus memperlihatkan dan terjemahnya menerusi perbahasan di Parlimen atau  ketika  akta-akta tertentu dibentangkan atau pada sidang akan datang.

“Saya serik dengan parti berkenaan, parti ini mereka berkahwin mutaah (sementara) dalam bidang politik.

“Dalam kalangan kami tidak ada yang percaya kepada mereka setelah mereka tidak mengotakan janii dan piagam sebelum ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa beberapa individu daripada Kerajaan Perpaduan menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.