KUALA LUMPUR : Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat tidak mempunyai alasan yang kukuh dalam menggesa kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, ini berikutan tiada hala tuju yang khusus berhubung pendirian parti bahkan tiada sebarang perjumpaan dibuat dalam kalangan ahlinya.

“Masalah Presiden kita, dia tidak jumpa semua Ahli Parlimen UMNO untuk jelaskan apa tujuan sebenarnya dan ke mana hala tuju parti ini untuk dibawa.

“Kalau kita tarik sokongan terhadap kerajaan, adakah kita masih yakin mampu untuk jadi kerajaan dan bagaimana untuk ambil alih kerajaan jika Perikatan Nasional tumbang dan mungkin tiada lagi kerjasama dengan Bersatu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Mengulas lanjut, tindakan Ahmad Zahid yang menggesa kesemua Ahli Parlimen BN untuk meletakkan jawatan juga dilihat tidak mempunyai alasan kukuh, sehingga Ahli Parlimen lebih memilih untuk menjaga soal kepentingan rakyat berbanding bergelut dalam kemelut politik.

“Saya tidak nampak alasan kukuh yang cukup meyakinkan kesemua Ahli Parlimen sehingga akhirnya mereka buat keputusan untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara berbanding terpalit pergolakan politik,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama, menggesa agar pucuk kepimpinan parti itu tidak hanya menumpukan masalah di peringkat nasional bahkan perlu mengambil kita di peringkat negeri.

Terdahulu, 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah kesemua mereka bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat menjelang September.