Skip to main content

Dunia

Monaco bakal anjur perlumbaan Sprint F1 buat kali pertama pada 2027

TB_F1 MONACO_AP
Sesi kelayakan di Monaco dianggap antara cabaran utama musim F1 dan terdapat gesaan berterusan supaya acara yang telah lama berlangsung itu diberikan pembaharuan. - Gambar fail/AP
Advertisement

LONDON: Monaco akan menganjurkan dua perlumbaan pada 2027 selepas pengurusan Formula Satu (F1) mengumumkan kalendar 24 pusingan bagi musim depan yang dijadualkan bermula di Bahrain, lapor PA Media/dpa.

Jadual musim depan diumumkan lewat daripada yang dirancang berikutan ketidaktentuan berterusan di Asia Barat akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Bagaimanapun, F1 berharap dapat memulakan musim di Bahrain pada 14 Mac, diikuti perlumbaan di Arab Saudi seminggu kemudian.

Kedua-dua perlumbaan itu digugurkan daripada jadual tahun ini, namun "Grand Prix Bahrain" akan diadakan di Malaysia pada Oktober.

Buat masa ini, F1 masih merancang untuk menamatkan musim semasa di Asia Barat, dengan pusingan di Qatar dan Abu Dhabi masing-masing dijadualkan pada 29 Nov dan 6 Dis. Imola akan mengambil alih sebagai tuan rumah perlumbaan penutup musim sekiranya kedua-dua acara itu tidak dapat diteruskan.

Bagi musim depan, jumlah pusingan Sprint, iaitu perlumbaan format pendek F1, akan meningkat daripada enam kepada 10, dengan Monaco menganjurkannya buat kali pertama. 

Keputusan menambah perlumbaan kedua di Monte Carlo -- litar yang terkenal dengan kesukaran untuk memotong -- dijangka mencetuskan persoalan.

Bagaimanapun, pengurusan F1 berharap sesi kelayakan kedua yang diperlukan bagi acara Sprint akan memberikan tarikan tambahan kepada peminat sukan itu.

Sesi kelayakan di Monaco dianggap antara cabaran utama musim F1 dan terdapat gesaan berterusan supaya acara yang telah lama berlangsung itu diberikan pembaharuan.

Sementara itu, pusingan di Portimao dan Istanbul akan kembali dalam jadual masing-masing pada Jun dan Oktober, menggantikan perlumbaan di Barcelona dan Zandvoort.

Grand Prix Britain akan kembali ke slot tradisinya pada hujung minggu pertama Julai, sekali gus mengelakkan pertembungan secara langsung dengan kemuncak kejohanan tenis Wimbledon dan Kejohanan Golf Terbuka Lelaki.

Silverstone turut menjadi tuan rumah pusingan Sprint untuk tahun kedua berturut-turut. Selain Monaco, perlumbaan format pendek itu akan berlangsung di Bahrain, Australia, Jepun, Kanada, Monza, Brazil, Qatar serta pusingan penutup musim di Abu Dhabi pada hujung minggu 11 hingga 12 Dis.

Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali berkata: "Kalendar 2027 menghimpunkan beberapa litar paling ikonik dan bandar paling meriah di dunia, menyediakan pentas luar biasa untuk satu lagi musim Formula Satu yang tidak dapat dilupakan.

"Kami teruja mengalu-alukan Portugal dan Turkiye kembali ke kejohanan serta menambah perlumbaan Sprint kepada 10 acara, sekali gus memberikan peminat kami lebih banyak aksi sengit, dramatik dan persaingan antara pelumba yang menjadikan sukan ini begitu istimewa.

"Formula Satu terus berkembang semakin kukuh dan menarik penonton baharu di seluruh dunia. Minggu demi minggu, pelumba terbaik dunia akan bersaing di beberapa litar paling mencabar dalam sukan permotoran, dengan sokongan pasukan F1 yang cemerlang, pengeluar bertaraf dunia dan rakan kongsi global. Bersama-sama, mereka menghasilkan tontonan yang tiada tandingan dalam dunia sukan."

Kalendar penuh F1 2027:

14 Mac - Bahrain (Sprint)

21 Mac - Arab Saudi

4 April - Australia (Sprint)

11 April - Jepun (Sprint)

18 April - China

2 Mei - Miami

23 Mei - Kanada (Sprint)

6 Jun - Monaco (Sprint)

20 Jun - Portugal

4 Julai - Britain (Sprint)

11 Julai - Austria

25 Julai - Belgium

1 Ogos - Hungary

5 Sept - Itali (Sprint)

12 Sept - Madrid

26 Sept - Azerbaijan

3 Okt - Turkiye

10 Okt - Singapura

24 Okt - Austin

31 Okt - Mexico

7 Nov - Brazil (Sprint)

20 Nov - Las Vegas

5 Dis - Qatar (Sprint)

12 Dis - Abu Dhabi (Sprint)

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement