Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan paksa pihak berkuasa tutup laluan peringkat ketiga Tour de France kepada orang awam

A truck drives next to a fire as a firefighting plane (not pictured) flies to battle wildfire near the A9 motorway near Beziers, France, July 3, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Sebuah lori melalui kawasan kebakaran ketika sebuah pesawat pemadam kebakaran (tidak kelihatan dalam gambar) menjalankan operasi memerangi kebakaran hutan berhampiran Lebuhraya A9 dekat Beziers, Perancis. - Foto REUTERS
Advertisement

PARIS: Pihak berkuasa Perancis mengarahkan laluan peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Tour de France ditutup kepada orang awam pada Isnin susulan risiko keselamatan yang berpunca daripada kebakaran hutan besar yang sedang marak di barat daya negara itu.

Kebakaran tersebut telah memusnahkan lebih 1,600 hektar kawasan hutan kira-kira 60 kilometer dari garisan penamat di Les Angles dan dilaporkan masih merebak.

Imej dan rakaman dari kawasan terjejas menunjukkan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara, manakala saksi melaporkan angin panas yang kuat, keadaan tanah yang membahang, kesukaran bernafas serta jarak penglihatan yang terhad kepada kurang daripada dua meter di sesetengah lokasi.

Walaupun laluan perlumbaan kekal tidak berubah, konvoi promosi Tour de France tidak akan melalui 40 kilometer terakhir laluan yang memasuki Perancis dari Sepanyol, lokasi perlumbaan bermula pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa wilayah Pyrenees-Orientales, para pelumba akan meneruskan perlumbaan seperti dijadualkan, namun hanya kakitangan penting dibenarkan berada di laluan bagi memastikan kelancaran acara.

Gelombang haba melampau dan kebakaran hutan yang melanda beberapa negara Eropah ketika ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan edisi Tour de France tahun ini.

“Keadaan kebakaran yang luar biasa memerlukan langkah luar biasa untuk Tour de France,” kata Pengarah Perlumbaan, Christian Prudhomme.

Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa laluan perlumbaan mungkin disesuaikan sekiranya keadaan memerlukan.

Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai supaya tidak menuju ke laluan perlumbaan atau kawasan penamat bagi membolehkan pasukan keselamatan menumpukan sumber dan tenaga kepada operasi memadam kebakaran yang masih aktif.

Setakat ini, seramai 750 anggota bomba, 200 kenderaan serta sembilan helikopter dan pesawat pengebom air telah dikerahkan untuk mengawal kebakaran yang mempunyai barisan api sepanjang 18 kilometer.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun dua individu, masing-masing seorang anggota bomba dan seorang penduduk tempatan, berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan penyelamat kini berusaha menghalang kebakaran daripada merebak ke arah Sungai Tet dan kawasan pergunungan Aspres yang kering serta sukar diakses.

Pada Ahad, tujuh wilayah di selatan Perancis diklasifikasikan oleh Meteo France sebagai menghadapi risiko kebakaran yang “sangat tinggi”.

Sementara itu, di wilayah Catalonia, Sepanyol, kebakaran hutan yang memusnahkan kira-kira 2,200 hektar kawasan di Les Gavarres dilaporkan berjaya distabilkan.

Bagaimanapun, suhu tinggi dan asap tebal masih menyukarkan usaha pemadaman sepenuhnya.

Pihak berkuasa tempatan percaya kebakaran yang tercetus pada Jumaat di kawasan Costa Brava itu berpunca daripada percikan api yang terhasil ketika seorang pekerja menggunakan gergaji bulat berhampiran jalan raya.

Suspek telah ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.

 

Must Watch Video

Advertisement