Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Belasah Curacao 7-1, Nagelsmann mahu Jerman terus ‘garang’

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group E - Germany v Curacao - Houston Stadium, Houston, Texas, U.S. - June 14, 2026 Germany coach Julian Nagelsmann applauds fans after the match REUTERS/Annegret Hilse
Julian Nagelsmann menegaskan, skuad Jerman tidak boleh berpuas hati selepas kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia pada Ahad, sambil mengingatkan cabaran lebih sukar menanti mereka. - Gambar Reuters

HOUSTON, AMERIKA SYARIKAT: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan, skuad bimbingannya tidak boleh berpuas hati selepas kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia pada Ahad, sambil mengingatkan cabaran lebih sukar menanti mereka.

Jerman sebelum itu diikat 1-1 pada separuh masa pertama, namun bangkit mendahului 3-1 sebelum rehat, sebelum aksi babak kedua yang bertenaga menyaksikan mereka melakar kemenangan besar sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar lain.

“Ia permulaan yang sangat baik. 15 minit pertama kami sangat cemerlang dengan beberapa percubaan berbahaya,” kata Nagelsmann.

“Gol penyamaan Curacao agak tidak dijangka, tetapi menarik untuk melihat bagaimana pemain kami memberi reaksi terhadap situasi itu.

“Curacao bermain lebih baik daripada jangkaan ramai di Jerman, selain tampil berbeza dan berani. Bukan mudah untuk menjaringkan tujuh gol, jadi kami berpuas hati.”

Namun, beliau mengingatkan pasukannya masih perlu memperbaiki beberapa aspek permainan jika mahu pergi lebih jauh dalam kejohanan.

“Kami berada di landasan yang betul, tetapi masih ada ruang penambahbaikan. Kami juga akan berdepan lawan yang lebih kuat selepas ini,” katanya.

Nagelsmann turut menegaskan, kesabaran menjadi kunci pada separuh masa pertama sebelum intensiti permainan meningkat pada babak kedua - sesuatu yang perlu dikekalkan jika Jerman mahu memburu gelaran dunia kelima.

“Apabila satu pasukan mempunyai harapan tinggi dan satu lagi tidak, ia menjadi situasi mencabar. Pada kedudukan 1-1, kami perlu bersabar dan pemain menunjukkan komitmen 100 peratus.

“Kami bermain dengan intensiti yang tepat dan jika mampu mengekalkannya, kami berpotensi mengharungi kejohanan yang baik,” tambahnya.

Beliau turut mengakui, kemenangan meyakinkan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan.

“Kemenangan ini amat diperlukan. Keyakinan itu memang sudah ada, tetapi kini semakin meningkat. Penting untuk kami tunjukkan kepada rakyat Jerman bahawa kami mampu beraksi dengan baik.”

Selepas perlawanan, penyokong Jerman turut menyanyikan lagu ‘the train has no brakes’ sebagai simbol momentum pasukan, dan Nagelsmann bertekad untuk memastikan skuadnya terus konsisten sepanjang kejohanan.

“Kami mahu terus bergerak tanpa henti dalam kejohanan ini,” katanya.

Jerman dijadual menentang Ivory Coast dalam aksi seterusnya di Toronto, Sabtu ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement