BEIRUT: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menerima pasport Lubnan pada Isnin selepas melengkapkan proses rasmi di Kementerian Dalam Negeri di Beirut — beberapa bulan selepas beliau dianugerahkan kewarganegaraan oleh Presiden Lubnan, Joseph Aoun.
Infantino, yang berkahwin dengan warga Lubnan, Lina al-Ashkar, hadir ke Kementerian Dalam Negeri untuk mengemukakan dokumen, merakam gambar serta cap jari sebelum diserahkan pasport biru baharunya.
Advertisement
Beliau sebelum ini sudah memegang dua kewarganegaraan, iaitu Itali dan Switzerland.
Dalam video yang disiarkan stesen televisyen tempatan, Infantino menyatakan rasa bangga dan gembira menerima pasport tersebut.
“Saya sangat bangga dan sangat gembira berada di Beirut untuk akhirnya menerima pasport Lubnan saya. Saya cintakan Lubnan,” katanya.
Di bawah undang-undang sedia ada, wanita Lubnan tidak boleh menurunkan kewarganegaraan kepada suami atau anak-anak mereka yang berstatus warga asing.
Namun, Presiden Aoun memberikan pengecualian khas kepada Infantino dan ahli keluarganya, membolehkan mereka menerima kewarganegaraan negara itu.
Sebaliknya, lelaki Lubnan yang berkahwin dengan wanita asing secara automatik boleh menurunkan kewarganegaraan kepada anak, manakala isteri mereka boleh memohon kewarganegaraan selepas tempoh perkahwinan tertentu.
Infantino bukan sahaja mempunyai hubungan kekeluargaan dengan negara itu, malah turut dikenali aktif menjalin kerjasama dengan badan bola sepak Lubnan.
FIFA, selaku badan induk bola sepak antarabangsa, berperanan besar dalam agenda pembangunan sukan negara berkenaan. - Agensi