Skip to main content

Dunia

Sistem 3x15 BWF cetus reaksi bercampur pemain

HORSENS (Denmark), April 21 -- Korea women’s singles player An Se Young celebrates after defeating Kaloyana Nalbantova of Bulgaria in their Group D match of the Thomas and Uber Cup at Forum Horsens today.  An Se Young won 21-7, 21-12.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
An Se Young mengakui beliau pada awalnya terkejut dengan pengumuman yang dibuat BWF pada Sabtu. - Gambar fail/BERNAMA

HORSENS: Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memperkenalkan sistem pemarkahan baharu 15 mata (tiga set) bermula Januari 2027 mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan pemain.

Sebilangan pemain menyambut baik perubahan itu yang menggantikan sistem kiraan 21 mata sedia ada, manakala sebahagian lagi masih berhati-hati terhadap kesannya kepada permainan.

Advertisement

Juara Olimpik dan pemain nombor satu dunia perseorangan wanita dari Korea Selatan, An Se Young mengakui beliau pada awalnya terkejut dengan pengumuman yang dibuat BWF pada Sabtu.

“Perubahan ini agak mengejutkan, tetapi saya perlu menyesuaikan diri dengan lebih baik dan mengharunginya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki muda Indonesia yang semakin meningkat naik serta pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia 2025 Moh Zaki Ubaidillah menjangkakan format baharu itu bakal memberi cabaran lebih besar, khususnya dari segi kesiapsiagaan dalam perlawanan.

“Sebelum ini saya pernah bermain menggunakan format sedemikian di Kejohanan Remaja Dunia. Saya akui ia agak sukar dan permainan menjadi lebih tergesa-gesa.

“Semua pemain perlu bersedia sejak awal kerana mata yang dipertandingkan juga tidak banyak. Jika dibandingkan dengan format sekarang, pemain masih mempunyai masa untuk mencari rentak,” katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu tewas kepada wakil China, Liu Yangmingyu, 10-15, 11-15 pada final perseorangan lelaki Kejohanan Remaja Dunia 2025 di Guwahati, India.

Rakan sepasukannya yang juga pemain beregu lelaki utama Fajar Alfian dilihat lebih positif terhadap perubahan itu, namun Nikolaus Joaquin pula kurang yakin dan memberi bayangan bahawa format lebih pendek itu mungkin menyebabkan perlawanan berakhir terlalu cepat.

Pemain beregu wanita nombor tujuh dunia dari Jepun, Kie Nakanishi berkata beliau bersama pasangannya Rin Iwanaga menantikan sistem pemarkahan baharu itu yang dilihat sesuai dengan corak permainan pantas mereka.

Ahli BWF mengundi untuk meluluskan penggunaan sistem 3x15 pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF ke-87 di sini dengan cadangan itu melepasi majoriti dua pertiga undian yang diperlukan.

Sistem pemarkahan 3x15 yang akan menggantikan format semasa 3x21 dijadual berkuat kuasa mulai 4 Jan 2027.

Presiden BWF Khunying Patama Leeswadtrakul berkata sistem baharu itu diperkenalkan bagi menjadikan badminton lebih menarik dan kompetitif, selain menambah baik penjadualan, memastikan tempoh perlawanan lebih konsisten serta memberi potensi manfaat kepada kebajikan dan pemulihan pemain.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video