Skip to main content

Dunia

Wimbledon halang kemasukan pempengaruh seperti di Terbuka AS

41500131492_TennisWimbledon.jpg
Kelab All England juga akan merampas barangan seperti lampu gelung yang boleh mengganggu perlawanan. - Gambar fail
Advertisement

NEW YORK: Kejohanan Wimbledon tidak akan membenarkan kebanjiran pempengaruh seperti yang berlaku pada Terbuka Amerika Syarikat (US Open), tempat perlawanan terganggu disebabkan tindakan individu mengambil foto menggunakan lampu terang dan membuat bising berlebihan semasa permainan, lapor PA Media/dpa.

Kelab All England juga akan merampas barangan seperti lampu gelung yang boleh mengganggu perlawanan.

Pemain seperti Coco Gauff dan Naomi Osaka terpaksa menggesa penonton, yang sebahagian daripadanya mungkin baharu dalam sukan tenis, agar mematuhi etika sukan berkenaan, manakala skrin gergasi di sekitar gelanggang turut memaparkan mesej serupa.

Kejohanan itu memberikan akreditasi rasmi kepada 100 pencipta kandungan, bersama-sama wartawan tradisional dan penyiar.

Agensi berita Press Association difahamkan bahawa Wimbledon tidak akan menyediakan kategori akreditasi untuk pempengaruh atau pencipta kandungan.

Pada masa sama, syarat kemasukan kelab berkenaan melarang sebarang barangan yang boleh digunakan untuk mengganggu perlawanan. Wimbledon menilai semula semua dasarnya, termasuk berkaitan media sosial, sebagai sebahagian daripada semakan tahunan.

Terbuka US sentiasa menjadi acara yang lebih bising berbanding Wimbledon yang lebih sopan, dengan muzik berbunyi lantang dari gelanggang utama dan penonton kerap meninggalkan tempat duduk mereka semasa perlawanan berlangsung.

Bau ganja di sekitar gelanggang luar yang berpunca dari Taman Corona berhampiran turut menjadi isu.

Pemain veteran Perancis Adrian Mannarino menjadi pemain terbaharu yang menyuarakan pandangan, memberitahu wartawan: "Penonton dibenarkan bergerak dalam kalangan orang ramai semasa permainan berlangsung.

"Kejohanan mengizinkan perkara itu, dan saya tidak pasti sama ada ia sesuatu yang terbaik untuk tenis secara umumnya. Terdapat bau ganja di gelanggang, bunyi bising di mana-mana. Hakikatnya, ia semakin berubah seperti zoo."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement