KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang selepas berjaya merangkul emas acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai malam tadi.
Menerusi satu hantaran di media sosialnya, Anwar berkata rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan itu.
Advertisement
Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” memanfaatkan sokongan padu penyokong untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, sekali gus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dan menggegarkan velodrom dengan sorakan gemuruh.
Persembahan cemerlang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar utama yang juga juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda di tempat kedua sementara wakil Trinidad Dan Tobago Nicholas Paul terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.
Azizulhasni dan Lavreysen yang menjadi tumpuan utama beraksi dalam saringan kedua pusingan kedua, dengan perlumbaan dimenangi pelumba Belanda itu, manakala Azizulhasni meloloskan diri ke separuh akhir di tempat kedua.