KOTA KINABALU: Sasaran membawa nama Sabah dan negara dalam persada sukan golf antarabangsa menjadi impian besar pasangan adik-beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff.
Khayr Akhtar, 15 tahun merupakan pelajar tingkatan tiga Maktab Sabah manakala adiknya Muhammad Yahya, 12 dari Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, Kota Kinabalu menanam hasrat itu kerana minat mendalam terhadap sukan berkenaan hasil didikan bapa mereka serta ahli keluarga yang lain.
Ditanya mengenai kenapa sukan golf menjadi pilihan pada usia muda ini, Khayr Akhtar mendedahkan karisma seperti juara PGA dan eropah seperti Rory Mcllroy menjadi idola baik dari sudut pukulan dan gaya 'putting' yang berlainan dengan pemain golf antarabangsa lain.
"Saya juga selalu menonton permainan golfer negara seperti Gavin Green dan juga meminati skil permainan beliau.
"Selain berlatih di padang lapangan atau driving range, bapa kami Ummar Ariff juga akan selalu mengajak kami menonton siaran golf di televisyen yang mana membawa minat kepada saya mendalami serta menyertai sukan golf," katanya kepada Astro AWANI.
Sehubungan itu, Khayr Akhtar berharap dapat mengharumkan nama Sabah dan negara dalam sukan golf kerana ia merupakan satu sukan yang turut diminati oleh ramai orang di seluruh dunia.
Jelasnya, permainan golf di padang lapangan semakin sebati dengannya namun, tidak mengabaikan aspek pembelajaran di sekolah.
Terdahulu, Khayr berjaya mengungguli peringkat 15 tahun Kejohanan MSS Sabah dengan kelebihan 6 pukulan daripada 36 lubang manakala adiknya, Muhammad Yahya menjuarai kategori 12 tahun dengan kelebihan 12 pukulan daripada 36 lubang.